Sunday, 25 October 2015

AKU KAKI TIRU, SO WHAT?!



Mahasiswa dan peperiksaan itu begitu dekat. Mahasiswa yang menduduki peperiksaan itu boleh diumpamakan seperti laksamana perang yang sedang beradu tenaga melawan tentangan dan cabaran pihak lawan. Andai ditelusuri hati dan perasaan seorang mahasiswa yang sedang 'bertarung' dalam dewan peperiksaan, pasti kita pandang tinggi golongan intelektual ini.

Namun, sikap gelintir mahasiswa yang terlalu mengejar pointer tinggi memilih untuk menggunakan jalan mudah dalam pertarungan ini. Dengan cara meniru. Maka dengan tindakan sekelompok kecil ini, mahasiswa kini dilihat sebagai boneka yang dihasilkan hanya untuk memenuhi minda intelektual tetapi tidak dari sudut rohani. Melihat kepada fenomena ini, kami warga SEMBANG SANTAI SCIENCESS (SS) mengadakan satu diskusi santai bersama pensyarah pilihan minggu ini yang di import khas dari Kuliyyah of Science, Jabatan Marine dan Technology. Berikut adalah sedikit nukilan yang sempat di abstrak dari perbincangan bersama Dr. Norma. Semoga bermanfaat.

*****

Apakah pendapat Dr tentang mahasiswa yang memberikan alasan mereka tiru, tidak merugikan sesiapa?

Meniru sudah menjadi sesuatu yang biasa dalam kalangan masyarakat. Bahkan sebenarnya, amalan meniru ini sudah dipupuk dari zaman sekolah. Bermula dengan hal-hal kecil seperti meniru untuk kerja rumah, meniru semasa kuiz dan dibawa ke dalam dewan peperiksaan. Semua ada akal waras dan sedar akan akibat buruk andai mereka terkantoi. Tetapi mereka endahkan.

Pada pandangan saya, mereka yang meniru dengan alasan tidak merugikan sesiapa telah berlaku tidak adil untuk orang lain yang jujur. Ye lah, orang lain bertungkus-lumus belajar, stay up sampai ke subuh hanya untuk mengulang kaji pelajaran dan memahami konsep pembelajaran dengan menyeluruh. Jadi, apabila ada yang mengambil jalan mudah, dengan hanya meniru mereka mampu memdapat keputusan yang cemerlang, seperti mana mereka-mereka yang sudah bertungkus lumus belajar, adalah tidak adil.

Kedua, saya lihat tindakan meniru ini sebagai satu perkara yang merendahkan kualiti seseorang pelajar itu sendiri, merendahkan segulung ijazah yang dimiliki malah merendahkan juga kualiti sesuatu universiti. Ingat tujuan kita untuk masuk universiti, adalah untuk menuntut ilmu. Masyarakat melihat golongan yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti ini sebagai satu harapan baru yang mampu mengubah dan mencorak masa depan negara. Kebanyakkan dari kita juga, apabila mendapat khabar berita bahawa kita berjaya mendapat tempat di universiti, pasti ibu dan bapa kita membuat kenduri doa selamat bagi meraikan kita. Betapa tingginya harapan masyarakat khususnya ibu bapa terhadap kita. Jadi, kalau kita meniru, dan andai kata suatu hari nanti kita terkantoi, pasti akan memalukan diri, keluarga dan saudara mara.

Ketiga, saya merasakan peranan pihak pengurusan dalam mengenakan tindakan tegas kepada mereka yang didapati bersalah dalam meniru, perlu ditekankan. Saya kira, apabila ada yang dikenakan tindakan serius atas kesalahan ini, ia akan menjadi pengajaran untuk pelajar lain supaya menjauhi tabiat meniru.

Boleh Dr. bandingkan cara-cara zaman Dr. meniru dengan zaman kami? Siapa yang lagi bijak meniru?

Tabiat meniru ini sebenarnya bersifat evergreen. Dari zaman ke zaman, tekniknya sama sahaja. Yang berbeza mungkin dari kemudahan seperti telifon. Banyak gelagat pelajar dalam meniru, antaranya bisik-bisik, jenguk-jenguk orang sebelah, pass note, tulis atas kaki, tulis nota kecil atau bawa toyol, tulis nota atas meja bagi yang sudah survey tempat duduknya di mana, dan paling terbaru mereka menggunakan kaedah memuatkan kesemua nota ke dalam telifon bimbit. 

Siapa lagi bijak meniru, itu tergantung kepada kepintaran dan kelicikan pelajar itu sendiri. Namun kini, pihak pengurusan sudah menetapkan beberapa garis panduan dalam mengawal pelajar di dewan peperiksaan. Antaranya, tidak boleh membawa kotak pensel, dilarang membawa telifon bimbit, tulis nama jika hendak ke tandas dan akan diiringi oleh pengawai yang bertugas, dan banyak lagi. Hal ini bagi mengurangkan statistik dan kebarangkalian pelajar meniru semasa peperiksaan.

Pada pandangan peribadi Dr. apakah alasan mahasiswa meniru?

Pada pendapat saya, banyak faktor yang mendorong mereka memilih untuk meniru. Antaranya, bebanan kerja yang terlalu banyak. Memang tidak boleh disangkal lagi yang mahasiswa ini sangat sibuk. Mereka terlalu banyak yang perlu di kejar, banyak subject yang perlu dipelajari. Jadi bagi yang tidak arif dalam pengurusan masa, mereka mungkin akan merasakan mereka tiada masa untuk study. 

Kedua, stress. Pelajar masa ini banyak benda yang mereka masukkan dalam fikiran. Contohnya, masalah percintaan. Selalu sibuk melayan buah hati dan ada segelintir yang meluangkan terlalu banyak masa berkomunikasi dengan teman lelaki atau teman wanita, berdating dan sebagainya. Ada juga yang mengalami masalah percintaan sehingga membawa kepada tekanan perasaan. Maka, datang perasaan malas atau tiada mood untuk study bagi peperiksaan akan datang. Pada akhirnya, mereka meniru.

Ketiga, kerana pekerjaa. Marketibility ini sememangnya setiap mahasiswa itu tahu. Apa yang perlu ada dalam diri seorang graduan  bagi memenuhi permintaan kerja di luar sana, dan apa yang menjadikan mereka setanding bahkan lebih baik daripada graduan universiti lain. Pointer. CGPA. Ya, mereka yang meniru ini mempunyai impian, visi dan misi untuk mendapat keputusan cemerlang dan mencapai target dean list atau ijazah kelas pertama. Mereka merasakan meniru adalah satu-satunya cara mudah untuk mendapatkan keputusan cemerlang. 

Seterusnya, financial. Ada di antara mereka merupakan pelajar tajaan. Jadi desakan untuk mendapat pointer yang baik bagi setiap semester menjadi pendorong mereka memilih untuk meniru selain dari faktor-faktor yang saya sebutkan di atas.

Terakhir, sikap mahasiswa itu sendiri yang malas. Mereka malas untuk mengulang kaji subject dari awal dan lebih suka untuk belajar di saat-saat akhir. Apabila masa semakin suntuk, dan mereka merasakan tiada harapan lagi untuk otak mereka menerima setiap satu informasi atay kita panggil otak tepu, jadi, mereka sekadar menyalin semua teori ke dalam satu kertas kecil dan membawa toyol exam ini ke dalam dewan peperiksaan.

*****
Moderator: Sister Anna
Panelist: Dr Normawaty (Head of Marine Department)
Sesi: Sembang Santai Sciencess, Edisi Rabu, 21st Oktober 2015
Program: Slot Bazaar KOSFEST, IIUM


#Berikut itu tadi merupakan sedikit isi yang diketengahkan semasa perbincangan. Setiap yang dicatit mungkin berbeza dengan ayat asal, namun masih berada dalam konteks pembawaan yang sama. Setiap kekurangan datangnya dari kami, setiap kelebihan datang dari Allah sendiri.